Thursday, 20 March 2014

ALLAH MAHA TAHU SEGALANYA - SIDEK BABA


PROFESOR Datuk Dr. Sidek Baba adalah antara orang yang begitu rapat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan keluarganya satu ketika dulu. Bekas Naib Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) ini ketika itu begitu mengkagumi Anwar. Beliau juga begitu yakin Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu bakal menjadi pemimpin utama negara. Namun akhirnya, seperti rakan-rakan rapat Anwar yang lain, beliau turut meninggalkannya. Dalam wawancara bersama Utusan Malaysia baru-baru ini, Sidek menceritakan kenapa beliau meninggalkan Anwar setelah menjadi penyokong tegar Anwar dan pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dulu.

Datuk dikatakan mempunyai hubungan dengan Anwar lebih 30 tahun. Apa menyebabkan memutuskan hubungan de­ngannya?

SIDEK: Saya menyertai ABIM sejak awal 70an. Saya mengagumi Anwar sekian lama kerana bakat kepimpinannya, kehebatan pidatonya dan merasakan beliau akan menjadi pemimpin utama negara suatu hari nanti. Sewaktu reformasi terjadi, saya ditahan di bawah ISA kerana saya ialah salah seorang penyokongnya.

Sejak 1998 sehingga 2011, dukungan dan simpati saya terhadap Anwar masih kuat. Apabila berlaku kes liwat yang kedua membabitkan Anwar saya mula bertanya siapa sebenarnya Anwar. Saya mula membuat kajian bertemu dengan orang yang pernah bekerja dan rapat dengan Anwar dan mengambil keputusan meninggalkannya.

Saya bertemu 30 orang yang rapat dengan beliau iaitu Penasihat Agama Anwar, Datuk Wan Zahidi Wan Teh, sahabat baik Anwar, Hamid Rashid, Bekas Ketua Pemuda Keadilan, Ezam Mohd. Nor yang kebetulan pelajar saya di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Datuk Zulkifli Nordin, peguam Anwar selama 12 tahun, Muhammad Rahimi Osman, pembantu khas di pejabat Anwar, Datuk Hamzah Zainuddin sekarang ini Timbalan Menteri Luar dan akhir sekali Tun Dr. Mahathir Mohamad, bekas Perdana Menteri.

Banyak maklumat yang saya terima dan saya teliti supaya keputusan yang saya ambil didukung oleh data dan fakta yang memudahkan saya mengambil pendirian kemudiannya.

Sebagai orang akademik dan ahli dakwah kebenaran maklumat adalah penting dan pedoman syarak adalah mustahak.

Akhirnya saya melakukan istikharah untuk mendapat pertunjuk Allah SWT. Ada tiga sebab yang menjadikan saya hilang keyakinan kepada Anwar.

Pertama, pendirian pluralisme agama yang dipegang oleh Anwar, keduanya, hubungan Anwar dengan pihak luar yang kontroversial dan ketiga masalah integriti yang dimiliki oleh Anwar.

Selepas Datuk mengambil keputusan dan pendirian banyak cabaran yang Datuk hadapi. Dapat Datuk kongsi sedikit?

SIDEK: Saya sudah menjangka apa yang berlaku akibat pendirian yang saya ambil. Cyber Trooper digerakkan untuk merosakkan imej dan integriti saya.

Ada blogger yang menuduh saya diupah RM15,000 sebulan untuk menjatuhkan Anwar dan minit mesyuarat palsu dikemukakan sebagai bukti suatu konspirasi yang sedang berjalan dan saya diberikan tanah yang mahal di Selangor dan menjualkannya balik kepada seorang tauke Cina.

Tuduhan-tuduhan itu adalah palsu dan ia adalah suatu fitnah untuk merosakkan imej dan kredibiliti saya. Hairannya ramai kawan-kawan saya percaya tanpa mahu bertanya dengan saya.

Dikatakan saya membenci Anwar kerana tidak dapat jawatan Rektor Kolej Universiti Islam Antarabangsa (KUIS) dan Pusat Pe­ngajian Sepanjang Hayat (KUISCell) sedangkan saya tidak pernah memohon dan tidak bercita-cita untuk menjadi Rektor di tempat berkaitan.

Isteri saya juga diserang dan dimaki hamun dengan pelbagai tuduhan. Inilah cara mereka menimbulkan fitnah. Alhamdulillah hati saya tetap cekal untuk berdiri atas kebenaran.

Pada penelitian Datuk apakah Anwar merupakan aset kepada negara pada masa depan?

SIDEK: Pada hemat saya Anwar sedang berada di hujung perjuangan politiknya. Dasar perjuangannya dalam politik orang Melayu dan politik Malaysia sudah semakin kacau.

Dengan hukuman lima tahun lagi penjara Anwar sudah tidak boleh mara ke hadapan malah pada jangkaan saya hayat politik Anwar sudah hampir ke hujung. Pakatan Pembangkang bakal menghadapi pergolakan yang lebih parah kerana ideologi perjuang­an mereka tidak sama.

Pas ada cita-cita politiknya sendiri dan DAP pun sama. Kedua-dua parti mempunyai percanggahan yang sangat nyata.

Pemilihan kepimpinan baharu PKR Mei ini bakal menyaksikan terserlahnya krisis kepimpinan yang sudah berlarut lama dan tidak mampu dileraikan oleh Anwar sendiri.

Sebagai seorang ahli akademik dan pendakwah apakah nasihat Datuk terhadap Anwar sebagai sahabat lama?

SIDEK: Sebagai orang akademik saya menilai sesuatu berasaskan fakta dan data bukan dengan persepsi atau rasa taksub yang melulu.

Saya mengamalkan sikap terbuka dan melakukan penyaringan terhadap fakta dan data supaya saya dapat membuat keputusan yang betul.

Islam mengajar kita supaya berlapang dada dengan perbezaan. Bukan dengan menaburkan fitnah, menanam sifat benci dan dendam dengan mengada-adakan yang tidak ada kerana ia dibenci oleh Allah.

Sebagai seorang pendakwah nasihat saya ialah kembalilah kita kepada diri sendiri sekiranya kesalahan berlaku dan keterlanjuran terjadi. Meski khalayak tidak tahu apa yang kita lakukan tetapi Allah Maha Menge­tahui segala-galanya.

Beban dosa yang kita lakukan tidak saja diadili oleh mahkamah dunia tetapi bakal ditentukan di waumilimahshar nanti. Dunia ini adalah terlalu singkat buat kita hidup. Tetapi yaumil akhirah adalah panjang dan ia kekal.

Di dunia kita boleh bersilat lidah tetapi di depan Allah nanti anggota badan akan menjadi saksi. Anggota badan tidak akan berbohong dan jawapannya adalah terang dan nyata.

Mereka yang yakin akan kuasa Allah, azab Allah adalah terlalu pedih buat kita. Allah itu Maha Pengampun dan Penyayang untuk kita.

No comments:

Post a Comment